MAJLIS TARANNUM AL-QURAN

MAJLIS TARANNUM AL-QURAN
Murid-murid bersedia untuk membaca al-Quran

Di dalam laman ini kita akan sama-sama berbincang mengenai Pendidikan al-Quran. Ia akan merangkumi konsep pendidikan al-Quran, kaedah pengajaran al-Quran, hafazan dan kefahaman. Laman ini juga akan membincangkan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan al-Quran. Pendidikan al-Quran merangkumi Pendidikan Islam, kerana pendidikan Islam itu sendiri berdasarkan kepada kefahaman al-Quran

Monday, July 21, 2008
















Madrastul Huda menganjurkan kelas Tarannum al-Quran untuk kanak-kanak dan orang dewasa lelaki dan perempuan. Setiap tahun sebelum menyambut Ramadhan diadakan Majlis Tarannum Kanak-kanak untuk meraikan murid-murid. Di dalam majlis ini peserta akan mempersembahkan bacaan al-Quran dan nasyid dan akhir sekali dianugerahkan sijil kehadiran dan hadiah sebagai cenderahati kepada setiap peserta. Untuk maklumat lanjut layari web ini: http://madrasatulhudateratai.blogspot.com/












SELAMAT DATANG KE LAMAN PENDIDIKAN AL-QURAN

Al-Quran adalah Kalam Allah yang mempunyai mukjizat yang diturunkan ke atas Nabi dan Rasul yang akhir iaitu Muhammad s.a.w. dengan perantaraan Malaikat Jibrail a.s. yang tertulis di dalam Mushaf, yang sampai kepada kita secara bersambung-sambung (Tawatur), menjadi ibadat membacanya, yang dimulakan dengan surah al-Fatihah dan disudahi dengan surah al-Nas (Terjemahan daripada al-Tibyan fi Ulum al-Quran oleh Muhammad Ali al-Sabuni.


Konsep Pendidikan al-Quran

Pendidikan al-Quran mempunyai dua maksud, iaitu pertama mendidik supaya belajar al-Quran dan kedua pendidikan atau pengajaran yang didapati daripada al-Quran. Kedua-dua ini bersifat timbal-balik. Yakni al-Quran mendidik kita supaya membaca al-Quran atau belajar al-Quran, apabila kita baca al-Quran dan faham makna dan tuntutannya, maka kita mendapat pendidikan daripada al-Quran.

Contohnya, Firman Allah di dalam al-Quran:


Maksudnya: Bacalah al-Quran dengan Tartil. Surah al-Muzzammil 4.


Dalam surah yang lain Allah berfirman:


Maksudnya: Bacalah dan sesungguhnya Tuhan kamu yang pemurah mengajar
dengan perantaraan qalam, mengajar manusia apa yang dia tidak ketahui.
Surah al-‘Alaq 3-5.

Dalam ayat yang pertama (al-Muzzammil) ada dua perintah, iaitu pertama perintah supaya membaca al-Quran dan yang kedua ialah perintah membaca al-Quran dengan tartil. Membaca dalam ayat ini bermaksud (recite).

Dalam ayat yang kedua (al-‘Alaq) membaca itu bermaksud balajar (study) atau mencari ilmu. Ini ialah kerana sambungan ayat itu Allah menjelaskan bahawa Allah mengajar ilmu kepada orang yang belajar. Malah, Allah sangat suka kepada orang yang berilmu dan mengangkat darjatnya (Surah al-Mujadalah 11 dan Ali Imran 180)

Setelah kita menyahut seruan Allah dan membaca al-Quran; katakan kita baca surah Yasin ayat 38, maka kita akan dapat ilmu daripadanya, seperti firman Allah:


Maksud: Dan matahari itu beredar pada peredarannya. Demikianlah
ketetapan Tuhan yang Maha perkasa lagi Maha Mengetahui. Surah Yasin 38.

Daripada ayat ini kita dapat ilmu bahawa matahari itu bergerak dan pergerakannaya tidak lari daripada jalan dan paksi yang telah ditetapkan oleh Allah.

Seterusnya Allah berfirman:


Maksudnya: Dan Kami tetapkan bagi bulan itu manzilahnya (peredarannya), dan apabila sampai ke tempat yang akhir ia kembali seperti seludang khurma. Dan tidak mungkin matahari mendapatkan bulan dan malam pula tidak akan mendahului siang. Dan setiap plenet itu beredar pada paksinya. Surah Yasin 29-30.

Kedua-dua ayat di atas jelas menerangkan mengenai matahari dan bulan dan pengetahuan ini telah tertera di dalam al-Quran sejak 1500 tahun dahulu iaitu sebelum lahirnya ahli sains.







Persediaan Sebelum Mengajar al-Quran

Setelah kita mengetahui konsep pendidikan al-Quran, maka kita (khasnya kaum guru) harus pula tahu bagamana hendak mengajar al-Quran supaya sampai kepada matlamatnya, mengambil pendidikan daripada al-Quran dan menghayatinya. Untuk itu ada lebih baik kita mengetahui dahulu persediaan guru atau maklumat umum mengenai konsep mengajar dan belajar al-Quran.

Mengajar dan belajar Al-Quran mempunyai maksud yang luas, iaitu bukan belajar sekadar boleh membaca al-Quran sahaja, malah banyak lagi perkara lain yang mesti diberi perhatian dan pertimbangan atau mesti diketahui. Antaranya ialah:

1. Guru harus sedar bahawa mengajar Al-Quran bukan sahaja bermaksud pelajar boleh menyebut huruf dan membaca Al-Quran, tetapi memupuk perasaan cinta kepada Al-Quran serta menjadikan hati mereka jinak dengan Al-Quran.

2. Guru harus mampu memperdengarkan bacaan Al-Quran yang baik dan fasih sehingga boleh menimbulkan perasaan khusyuk, tenang dan lega bila mendengarnya. Dengan demikian menimbulkan minat kepada pelajar untuk terus mendengar bacaan Al-Quran. Memang naluri manusia suka mendengar suara atau bunyi yang merdu, kerana bunyi yang
merdu itu boleh menambat hati dan memberi kesan kepada jiwa. Oleh kerana guru tidak mampu memperdengarkan suatuyang merdu dari Al-Quran, maka menjadikan pengajarannya hambar dan tidak menarik. Ini menyebabkan pelajar tidak berminat kepada Al-Quran, lantas mereka mencari bunyi-bunyian lain yang dianggap lebih merdu, walau pun kita tidak menganggapnya merdu serta tidak pula harmoni, malah dalam banyak hal, berdosa pula.

3. Memastikan pelajar mendapat suatu yang baru daripada maksud Al-Quran yang dibaca. Ini menimbulkan minat untuk selalu menghadiri kelas Al-Quran kerana ada sesuatu yang ia dapat.

4. Guru haruslah mengulang-ulangkan tentang kelebihan belajar Al-Quran. Kelebihan-kelebihan ini bukan sahaja untuk tujuan kesejahteraan di akhirat, tetapi di dunia pun telah dapat dikecapi dan dinikmati.
5. Guru harus ingat bahawa Al-Quran ialah kalam Allah yang Qadim. Bacaannya ibadat, dan mesti dibaca dengan betul, terang dan fasih mengikut bahasa Arab yang standard. Kesalahan membacanya dikira salah dan haram. Jadi guru harus mencuba sedaya upaya belajar Al-Quran kepada kepada guru yang muktabar dan boleh membacanya dengan baik, kemudian cuba sedaya yang mungkin untuk mendidik pelajar supaya mereka dapat membacanya dengan baik dan tidak melakukan kesalahan bacaan pada masa akan akan datang. Kesalahan yang tidak dibetulkan itu menyebabkan pelajar akan terus melakukan kesalahan yang serupa berpanjangan hingga ke akhir hayatnya.

6. Guru mesti menunjukkan cara yang betul dan jelas untuk menyebut huruf-huruf Al-Quran (makharijil huruf dan sifatnya) dan yang lain-lain yang berkaitan dengan hukum bacaan seperti dengung (ghunnah), panjang (mad), pendek dan sebagainya.

7. Tegaskan kepada pelajar dari semasa ke semasa bahawa Al-Quran merupakan perlembagaan bagi orang Islam. Ia adalah kitab Petunjuk, pembimbing dan pembeda antara yang baik dan yang buruk. Oleh itu pelajar harus diberi peringatan bila membaca Al-Quran, bahawa kita sedang membaca Kitab Allah, hukum dan peraturan Allah s.w.t.. Kita berhasrat akan mengamalkan apa yang diperintahkan dalam ayat berkenaan.

8. Al-Quran bukan sahaja memberi panduan dan petunjuk kepada semua manusia, tetapi secara terus mendidik akhlak orang yang beriman. Jadi apabila berjumpa ayat-ayat berkenaan dengan akhlak, peraturan atau hukum, tegaskan kepada pelajar bahawa inilah ajaran Al-Quran.

9. Setiap peristiwa yang disebutkan di dalam Al-Quran ada hubungannya dengan kehidupan harian, jadi, guru harus mampu menghubungkaitkan dengan kehidupan harian pelajar. Dengan demikian barulah pelajar faham bahawa Al-Quran bukan untuk masa dahulu, tetapi ia sentiasa hidup dan menceritakan apa yang dilakukan oleh manusia sekarang.

10. Guru mestilah berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Sekiranya akhlak guru bertentangan dengan Al-Quran, maka ini menjadikan pendidikan Al-Quran tidak berkesan. Lebih malang lagi, menjatuhkan maruah guru, atau rendah nilai peribadi
guru pada pandangan pelajar. Ini menyebabkan pelajar tidak menghormati guru berkenaan.


Matlamat Pendidikan al-Quran

Matlamat dalam perbincangan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Matlamat jangka pendek ialah tujuan atau objektif pelajaran al-Quran. Sekarang dipanggil Hasil Pembelajaran (Learning Outcome). Ini ialah apa yang dapat dicapai pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Itulah yang termaktub di dalam buku rekod pengajaran bagi setiap orang guru.

Contohnya seorang guru itu telah menulis di dalam buku rekod pengajarannya ialah:

Di akhir pelajaran akan dapat:
1. menyebut huruf-huruf al-Quran dengan betul
2. membaca ayat-ayat al-Quran dengan fasih dan lancar
3. menyebut intisari ayat atau pengajaran yang dipetik daripada ayat berkenaan.

Hasil ini dapat dilihat dan diukur di akhir pelajaran, sama ada tercapai atau tidak. Inilah yang dikatakan matlamat jangka pendek atau objektif atau pun Hasil Pembelajaran.

Ini berbeza dengan matlamat jangka panjang, kerana ia tidak dapat dijelaskan atau dikesan di akhir pelajaran dan tak dapat diukur. Misalnya, matlamat pedidikan al-Quran ialah untuk melahirkan generasi yang cintakan al-Quran, atau melahirkan pelajar yang menghayati ajaran al-Quran. Bagaimana dan bila kita dapat melihat generasi al-Quran?. Ini tak mungkin dapat dicapai dalam masa 40 minit. Malah, dalam masa LIMA tahun pun kita belum tentu dapat melihat generasi al-Quran. Maka ini bukanlah statment Hasil Pembelajaran.

Ini ialah kerana kita tidak dapat tahu bila akan lahir generasi seperti itu. Adakah dalam waktu terdekat atau selepas kita mati. Kita juga tidak dapat mengukur degri pelajar yang menghayati al-Quran; setakat mana? Di mana dan bagaimana? Inilah yang dikatakan matlamat jangka panjang.

Al-Quran adalah roh kepada Pendidikan Islam dan matlamatnya ialah untuk melahirkan individu muslim yang soleh. Daripada individu inilah nanti akan melahirkan masyarakat yang baik dan seterusnya membina sebuah negara yang baik. Jadi pendidikan ini sebenarnya bermula daripada membaca al-Quran dan mencintainya. Di sinilah anak-anak dididik dan diasuh supaya memhami al-Quran dan menghayatinya.

Al-Quran merupakan sabagai perlembagaan bagi orang Islam. Dengan demikian setiap orang harus tahu dan memahami isi al-Quran. Dengan itu barulah ia tahu apa perlu dilakukan dan apa pula yang mesti ditinggalkan. Inilah yang dikatakanPendidikan al-Quran.

Daripada aspek kurikulum Pendidikan awal al-Quran ialah pendidikan aqidah dan ibadah. Dengan demikian setiap muslim harus jelas dari aspek aqidah seperti yang ditegaskian oleh al-Quran, kerana dari sinilah manusia yang terdidik itu membina keluarga dan masyarakat seterusnya membina negara.yang diredhaai Allah).

Setiap muslim haruslah dididik supaya mencintai al-Quran dan menghayatinya di dalam hidup. Untuk mecapai hasrat ini setiap muslim harus diajar supaya dapat membacanya dengan baik dan memahaminya dengan sempurna. Hanya dengan cintakan al-Quran sahaja, iaitu dengan selalau membacanya akan dapat menggerakkan hati supaya cuba memahami isi kandungannya. Apabila telah memahami tuntutan al-Quran dan mencintainya barulah akan timbul hasrat untuk mengamal dan menghayai al-Quran.

Perkara yang sama telah dibincangkan juga oleh Ahmad (1985) di dalam bukunya Turuq Ta’lim. Malah beliau menambah lagi bahawa pendidikan al-Quran bukan sahaja membina peribadi muslim yang baik untuk keselesaan hidup dalam masyarakat, malah ia mendidik untuk kesejahteraan hidup di akhirat.

Justeru itu, pendidikan al-Quran merupakan pendidikan yang cukup syumul, ia merangkumi pendidikan dunia dan akhirat. Inilah tanda kesyumulan Islam itu sendiri. Perkara inilah yang dibincangkan oleh Darraz (1984) yang mengatakan pendidikan al-Quran itu mengutamakan pendidikan akhlak. Ia membina akhlak orang Islam di dalam hubungannya dengan keluarga, jiran, ahli masyarakat dan negara.

Untuk mencapai matlamat ini maka kaedah pendidikan itu haruslah sesuai dengan pelajar dan keadaan semasa dan setempat. Pendidikan al-Quran haruslah memberi kesan kepada diri seseorag itu dari segi roh, akal dan jasmaninya. Tanpa ada keberkesanan pada ketig-tiga aspek ini, maka pendidikan al-Quran itu dianggap tidak berjaya.

Sebagai guru pula haruslah dapat mengingati ayat-ayat al-Quran khasnya yang berkaitan dengan pendidikan. Setiap kaedah yang digunakan, malah setiap perkara yang diajar haruslah ada ayat yang dirujuk Dengan ini pengajarannya lebih mantap dan pelajar bertambah yakin dengan kebolehannya.


Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran http://pendislami.tripod.com/






Pertama sekali kita mesti ingat bahawa al-Quran adalah Kitab Allah. Justeru itu, mengajar dan belajar al-Quran mestilah mengikut sepertimana yang diajarkan oleh Allah. Bagaimana Allah mengajar kita? Allah tidak mengajar kita secara terus dan bersemuka, kerana Allah sifatNya Maha Sempurna. Sebaliknya mengajar kita dengan perantaraan orang lain. Lihat sahaja bagaimana Allah mengajar Nabi Muhammad s.a.w. Allah mengajarnya melalui Malaikat Jibrail a.s..

Pengajaran Tilawah

Perhatikan peristiwa Nuzul al-Quran. Malaikat Jibrail yang mengajarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan metod Talaqqi dan Musyafahah. Iaitu Jibrail membaca dan Nabi Muhammad s.a.w. mengikuti bacaan itu. Inilah yang dikatakan oleh Dr Abdul Halim El-Muhammady sebagai Metod Jibrail. Dengan demikian apabila seorang guru itu mengajar al-Quran, maka hendaklah ia membaca dahulu dan kemudian diikuti oleh murid. Bacaan guru bacaan contoh, sebab itu ia mestilah bacaan yang baik, betul dan fasih daripada segi sebutan huruf dan sifat-sifatnya. Ini termasuklah dengung (ghunnah). Mad, tebal, nipis dan lain-lain.

Untuk tujuan ini, guru haruslah berusaha memperbaiki bacaan al-Qurannya supaya menjadi baik, fasih mengikut hukum Tajwid. Guru tidak semestinya mengajar ilmu Tajwid kepada murid-muridnya, tetapi guru mengajar murid-muridnya membaca al-Quran bertajwid.

Pengajaran Kefahaman

Tujuan pengajaran ini ialah untuk memberi faham kepada murid-murid mengenai maksud ayat-ayat yang dibaca. Dengan sebab itu guru mestilah memberi makna ayat tersebut, kemudian menghuraikan maksud ayat itu serata pengajaran-pengarajaran yang dapat dipetik daripada ayat berkenaan.

Pengajaran Hafazan

Tujuan pangajaran ini ialah supaya pelajar/murid dapat menghafaz beberapa ayat al-Quran untuk amalan harian seperti bacaan di dalam solat, wirid dan lain-lain. Untuk memudahkan pelajar menghafaz ayat-ayat al-Quran, guru mestilah memberithu murid cara-cara hendak menghafaz ayat-ayat al-Quran. Antara tekniknya ialah seperti berikut:

Teknik menghafaz Al-Quran

1. Pilih ayat yang hendak dihafaz. Pilih ayat yang pendek dahulu. Jika ayat itu panjang, maka potong-potongkan supaya ia menjadi pendek. Tetapi awas, memotong ayat mesti tengok maknanya dahulu, jangan sampai merosakkan maknanya. Kalau tidak faham, bertanyalah kepada orang yang lebih faham atau kepada guru-guru. Bagi surah-surah di dalam Juzuk ‘Amma (Juzuk 30) agak mudah kerana ayatnya pendek-pendek.

2. Baca ayat-ayat berkenaan dengan sebutan yang betul dan fasih (panjang, pendek, dengung dan sebagainya) dengan lambat-lambat (Tartil). Ulang- ulangkan bacaan itu beberapa kali sehingga lancar.

3. Setelah lancar, baca ayat berkenaan dengan lebih cepat (Tadwir).

4. Ulang-ulangkan beberapa kali dengan bacaan Tadwir hingga betul- betul lancar.

5. Baca dan cuba mengingat ayat-ayat berkenaan. Iaitu baca tanpa melihat kepada mushaf. Jika tersangkut atau tidak lancar barulah lihat mushaf, dan kemudian teruskan bacaan (hafazan) tanpa melihat mushaf.

6. Ulang-ualangkan bacaan tersebut beberapa kali tanpa melihat mushaf sehingga betul-betul lancar

7. Setelah dapat mengingat atau membaca dengan lancar tanpa melihat mushaf, berhenti sekejap dan bangkit daripada tempat itu dengan mengerak-gerkan anggota badan. Selepas itu duduk semula di tempat itu untuk menyambung bacaan. Cuba baca ayat yang telah dihafaz itu. Jika kurang lancar, ulang-ulangkan beberapa kali supaya lancar.

8. Setelah lancar bacaan ayat itu, maka mula pula dengan ayat yang baru, iaitu sambungan daripda ayat yang lepas. baca ayat lain, lakukan seperti langkah 1, 2, 3, 4, dan 5.

9. Setelah dapat mengingat ayat yang kedua ini, mula balik membaca dari awal ayat pertama hingga akhir ayat kedua tanpa melihat mushaf, melainkan jika tersangkut atau tidak lancar.8. Ulangkan bacaan beberapa kali dengan bacaan Tadwir supaya lancar.

10. Apabila mendirikan solat, baca ayat-ayat yang telah dihafaz itu di dalam solat.
11. Amalkan membaca Al-Quran setiap hari, khasnya ayat-ayat yang telah dihafaz supaya tidak lupa.

Adab Menghafaz al-Quran

Al-Quran adalah kitab suci, jadi, sebelum kita membaca atau menghafaz ayat-ayat daripada kita suci ini, perlulah menjaga adab-adabnya supaya kita mendapat barakah dan pertolongan Allah serta mudah menghafaznya. Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Bersuci dan berwuduk
2. Memakai pakaian yang bersih
3. Berada di tempat yang bersih dan sunyi
4. Mengadap kiblat
5. Ikhlaskan niat. Menghafaz kerana hendak menghafaz, sebab Allah dan rasulNya suka orang yang menghafaz Al-Quran, bukan kerana sebab-sebab lain yang bersifat keduniaan

Penghayatan al-Quran http://madrasatulhudateratai.blogspot.com/

Maksud penghayatan al-Quran ialah menghayati atau mengamalkan segala perkara yang diperintahkan oleh al-Quran, sama ada perintah melakukannya atau meninggalkannya. Untuk menghayati al-Quran kita perlu memahami isi kandungannya atau faham maksudnya terlebih dahulu. Guru-guru haruslah menghuraikan maksud daripada terjemahan ayat-ayat tersebut sehingga murid-murid betul-betul faham.

Daripada aspek pendidikan, guru mestilah menunjukkan cara-cara hendak menghayati setiap ayat yang dibaca. Contohnya kita baca ayat 9 higga 11 surah al-Jumaat. Guru bukan sahaja menceritakan bahawa kita wajib solat Jumaat, tetapi guru mesti mengajak pelajarnya pergi ke masjid untuk solat Jumaat. Inilah yang dikatakan pendidikan.

Kalau guru tidak mengajak murid pergi solat Jumaat, itu bermakna guru hanya mengajar sahaja, belum lagi mendidik. Apabila guru menasihati pelajar supaya jangan tinggal solat Jumaat, dan mereka terus melakukannya, maka ini barulah dikatakan menghayati al-Quran. Demikianlah dengan ayat-ayat dan hukum-hukum yang lain.

Demikian juga halnya dengan orang perseorangan. Setiap muslim wajib menghayati al-Quran atau mengamalkan ajaran Islam. Islam bukan setakat solat dan puasa sahaja, ini memang ramai yang melakukannya, itu pun belum tentu menghayatinya. Kerana menghayati itu lebih lagi daripada solat dan puasa, walau pun solat dan puasa itu satu daripada pengahayatan Islam.

Kita harus faham bahawa Islam ialah Aqidah, Syari’ah dan Akhlak. Islam itu agama Allah yang disebut al-Din (Ali Imran, 19). Kalimah al-Din tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa lain dengan tepat. Walaupun ia diterjemahkan dengan maksud AGAMA atau Religion di dalam bahasa Inggeris, tetapi tidak tepat. Kerana Religion atau agama lebah menumupakan kepada upacara Ritual. Al-Din bukan sahaja Ritual tetapi merangkumi semua aktiviti hidup. Sebab itu di dalam Falsafah Islam al-Din bermaksud Cara Hidup yang sempuna (a complete way of life).

Apabila di sebut Din al-Islam (Dinul-Islam) bermaksud cara hidup Islam yang sempurna (syumul). Ini merangkumi segala aspek di dalam kehidupan mausia seharian, seperti kekeluargaan, kemasyarakatan, pelajaran dan pendidikan, pergaulan, ekonomi, politik, social, kemajuan pemabinaan dan pembuatan, makanan dan munuman, perniagaan, hiburan dan banyak lagi. Sebagai seorang Islam kita wajib menghayati cara hidup Islam secara syumul, bukan setakat solat, puasa dan umrah sahaja. Jika tidak menghayatinya, kita dikira bersalah dengan Allah Ta’ala, justeru, kena minta ampun kepadaNya. Inilah maksud pengahayatan al-Quran.


Nuzul al-Quran dan Pendidikan

Kebanyakan kita biasanya memandang ayat-ayat al-Quran sebagai sumber hukum atau sumber perundangan Islam sahaja. Terdapat juga sebahagiannya yang menambahkan lagi dengan mengatakan al-Quran sebagai sumber ilmu dan sumber wahyu. Sebenarnya al-Quran Mu’jiz dan Syumul, justeru, ia merupakan sumber segala-segalanya. Termasuklah politik, ekonomi, sosial, pendidikan, falsafah, perubatan dan sebagainya. Di dalam tajuk ini kita akan berbincang mengenai pendidikan di dalam al-Quran. Kita mulakan dengan peristiwa Nuzul al-Quran dahulu.

Dari segi tarikh dan tempatnya para ulama ‘Ulum al-Quran telah bersetuju bahawa al-Quran mula diturunkan pada 17 Ramadhan semasa Nabi Muhammad s.a.w. berumur 40 tahun bertempat di Gua Hira. Ayat yang pertama di turunkan ialah lima ayat daripada surah al-Alaq.

Maksudnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menjadikan (menciptakan). Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacala, dan Tuhanmu yang Amat Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran qalam (pena). Dia mengajar manusia apa yang mereka tidak ketahui. Ayat 1-5.

Daripada lima ayat ini kita dapat memetik beberapa prinsip pendidikan. Contohnya firman Allah di dalam ayat pertama: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”.
.
Perkara pertama yang dapat dipetik daripada ayat ini ialah pendidikan Tauhid, iaitu mendidik kita supaya yakin dengan adanya Allah yang Esa. Di sini juga menjurus kepada kurikulum. Perkara pertama yang mesti dimasukkan ke dalam kurikulum Pendidikan Islam ialah Tauhid, iaitu mengenal Allah. Setelah mengenal Allah barulah diajar perkara-perkara lain contohnya ibadat. Kerana kalau tidak kenal Allah, kepada siapa kita beribadat?

Kedua, kita yakin bahawa Allah yang menjadikan segala yang ada termasuk manusia, binatang dan alam yang dapat dilihat. Manusia petama ialah Adam a.s. dan Adam a.s. dijadikan daripada Tanah.

Ketiga, kita juga dididik supaya menyebut nama Allah pada setiap perkara atau urusan yang kita lakukan (yang dibenarkan). Ini termasuklah makan, minum, bekerja dan sebagainya.

Keempat, ayat ini juga mendidik kita supaya bersifat ikhlas. Semua perkara yang kita lakukan di dalam Islam ini mesti dengan kerana Allah. Bukan kerana sebab-sebab yang lain yang bersifat keduniaan seperti riyak, takabur dan sebagainya.

Ayat yang kedua "Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah" ialah mengenai ilmu sains. Ia menjelaskan bahawa manusia dijadikan daripada al-‘Alaq (segumpal darah). Pada masa itu tidak ada manusia yang tahu tentang prinsip ini, kerana ilmu sains belum ada lagi, tetapi al-Quran telah pun menjelaskan tentang kejadian manusia.

Ayat ketiga "Bacala, dan Tuhanmu yang Amat Pemurah". merupakan satu perintah Allah supaya belajar. Kalimah “IQRA’” di dalam ayat ini bermaksud belajar (study) kerana ayat selanjutnya (ayat keempat) "Yang mengajar (manusia) dengan perantaran qalam (pena)". menjelaskan belajar itu melalui proses pembacaan. Kemudian ayat selanjutnya (ayat kelima) pula menyebutkan bahawa "Dia, (Allah) mengajar manusia apa yang mereka tidak ketahui". Gabungan daripada dua ayat ini (3 dan 4) jelas kepada kita bahawa kita belajar melalui proses membaca daripada bahan yang bertulis.

Ayat ketiga juga mendidik kita supaya bersikap pemurah. Al-Akram (pemurah) itu adalah sifat Allah, dengan demikian manusia adalah dianjurkan supaya menghayati dirinya dengan sifat Allah ini. Iaitu bersifat pemurah dengan membelanjakan harta, tenaga, ilmu dan sebagainya ke jalan Allah dengan niat untuk menolong orang lain.

Ayat yang kelima, sekali lagi menjurus kepada mentauhidkan Allah, iaitu menyakini bahawa Allah bersifat Mengetahui dan Dialah yang mengajar kita. Kita mesti yakin bahawa segala apa yang kita ketahui, Allah-lah yang mengajar kita. Bukan guru pada hakikat yang sebenarnya. Guru hanya menyampaikan, dan Allah yang memberi faham.

Dari aspek metodologi, kita dapati bahawa pengajaran dan pembelajaran al-Quran berlaku secara Talaqqi dan Musyafahah. Ini jelas daripada peristiwa Nuzul al-Quran itu sendiri. Iaitu Jibrail a.s. membaca al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w. mengikut bacaan tersebut. Justeru, kita ambil pengajaran di sini bahawa mengajar dan belajar al-Quran haruslah digunakan metod ini, iaitu Talaqqi dan Musyafahah. Bermaksud guru membaca dahulu kemudian diikuti oleh pelajar. Jadi pelajar akan meniru cara guru membaca, sama ada dari aspek sebutan makhraj dan sifat huruf atau pun lagunya. Kemudian guru betulkan bacaan murid jika ada sebutan yang tidak tepat.

Jadi, untuk mendapat keberkesanan yang baik di dalam pengajaran al-Quran, guru haruslah mampu membaca al-Quran dengan baik, betul dan fasih sebutan makhraj dan sifat hurufnya. Bacaan guru di hadapan murid adalah bacaan contoh, jadi mestilah betul, baik dan tidak ada salah.

Perkara kedua dari aspek metodologi ialah penyampaian mestilah bertahap. Jibrail a.s. mengajar Rasulullah s.a.w. bertahap-bertahap atau sedikit demi sedikit selama 23 tahun. Pertama kali hanya lima ayat sahaja. Dari aspek psikologi, tahap-tahap itu bergantung kepada tahap kecerdasan murid. Juteru itu, di dalam pengajaran dan pembelajaran guru harus membuat perancangan agar sukatan pelajaran dapat dihabiskan di dalam masa yang ditetapkan dan sesuai dengan kemampuan murid. Adalah tidak wajar guru hendak menghabiskan sebuah buku di dalam masa beberapa jam sahaja. Inilah pendidikan daripada peristiwa Nuzul al-Quran.


Kenapa kita kena mengkaji al-Quran?

1. Kerana al-Quran Kitab Allah yang mengandungi peraturan hidup yang lengkap. Segala hukum hakam yang terdapat di dalam kitab yang terdahulu, terdapat juga di dalam al-Quran. Isi kandungannya, hukum hakam dan peraturan hidup lebih sempurna daripada kitab-kitab terdahulu.

2. Al-Quran adalah Kitab Petunjuk. Sesiapa yang mengkaji al-Quran dia akan mendapat pentunjuk. Orang Islam akan dapat petunjuk untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa. Orang yang bukan Islam, jika ia mengkaji al-Quran juga akan mendapat pentunjuk untuk menjadi orang baik, mendapat ilmu pengetahuan dan sebagainya. Dan paling tinggi sekali ia akan dapat petunjuk untuk memeluk agama Allah.

3. Al-Quran adalah Dustur Ummah. Iaitu perlembagaan bagi umat Islam. Perlembagaan bermaksud undang-undang asas. Selebih daripada itu adalah huraian Nabi Muhammad s.a.w. dan juga para ulamak.

4. Meanjadi tanda kenabian Muhammad s.a.w. Nabi-nabi yang terdahulu dikurniakan kitab-kitab sebagai panduan untuk disampaikan kepada umat masing-masing. Al-Quran adalah kitab panduan bagi umat akhir zaman.

5. Al-Quran sebagai tanda Allah itu Esa dan Berkuasa. Al-Quran adalah kitab sebenar datangnya daripada Allah. Tiada ada siapa, manusia, jin dan malaikat yang dapat mencipta walaupun satu ayat yang serupa dari segi maknanya, sastera dan bahasanya yang tinggi itu. Pujangga Quraish di zaman awal Islam telah mengaku bahawa al-Quran bukan karangan manusia, ia mesti datang daripada Tuhan yang Esa, iaitu Allah Taala.

6. Al-Quran adalah Mukjizat yang kekal dan berterusan. Setiap nabi dikurniakan mukjizat. Selepas kewafatan nabi itu tidak ada lagi mukjizatnya. Contohnya, tongkat Nabi Musa a.s. Jika ada pada kita tonkat itu sekarang ini, tidak mungkin ia akan menjadi ular lagi. Mukjizat ini dipanggil Mukjizat Hissi. Berlainan dengan al-Quran, ia adalah Mukjizat Maknawi. Walaupun Nabi Muhammad. s.a.w. telah wafat, al-Quran tetap menjadi mukjizat dan terus kekal hingg hari kiamat. Maksudnya, tiada siapa yang dapat mencipta ayat-ayat seperti al-Quran, dan isi dan hukumnya tetap dan tiada siapa yang dapat menugubahnya.







PENDIDIKAN AL-QURAN DALAM KEPIMPINAN

Menurut Kamus Dewan, pendidikan bermaksud proses mendidik atau perihal mendidik.
Al-Quran ialah kalam Allah yang bersifat Mu’jiz dan syumul. Justeru itu, ayat-ayatnya merangkumi prinsip-prinsip pendidikan, sosial, politik, kepimpinan, kekeluargaan, kemasyarakatan, kenegaraan dan sebagainya.

Konsep Kepimpinan

Secara mudah kepimpinan ialah “mendapatkan orang-orang lain supaya mahu mengikut” atau pun “mendapatkan orang-orang lain supaya mahu melakukan sesuatu tugas”. Dalam takrifan lain kepimpinan ialah sejenis tingkah laku yang bertujuan mempengaruhi individu-individu lain supaya mereka sanggup dan secara sukarela melakukan apa yang dikehendaki oleh orang yang memimpin (Ainon Mohd. 2005). Jika ia disebut kepimpinan al-Quran, bermaksud kepimpinan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam seperti yang tercatat di dalam al-Quran.

Lou Rusell dan Jeff Feldman (2003) mentakrifkan kepimpinan sebagai:
“Leadership is the result of using one’s role and ability to motivate and influence”.

Seorang pemimpin yang baik ialah yang mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk mempengaruhi orang lain atau memotivasikan orang lain supaya melakukan sesuatu arahan. Lebih-lebih lagi orang yang berada di bawah bidang kuasanya, supaya melakukan sesuatu yang baik bagi dirinya sendiri, keluarga dan juga organisasinya. Begitu juga dengan pengurus sesuatu institusi. Pengurus ialah orang yang mempunyai kuasa dan dapat mempengaruhi orang lain yang di bawah bidang kuasanya melakukan sesuatu untuk menyempurnakan objektif organisasinya.

Menurut ala-Quran, setiap individu adalah pemimpin dan pengurus. Iaitu pemimpin dan pengurus dirinya sendiri, keluarganya dan masyarakatnya. Bagi orang yang menjadi ketua bagi mana-mana organisasi, maka ia mempunyai bidang kuasa kepimpinan dan pengurusan yang lebih luas lagi.

Dalam kefahaman Islam, setiap orang mempunyai tanggungjawab di sisi Allah s.w.t. terhadap dirinya sendiri dan orang yang di bawah kepimpinannya. Justeru, jawatan yang kita sandang bukanlah satu hak atau keistimewaan, tetapi satu tanggungjawab. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w.

كُلُّكُم رَاعٍ وَكُلُّكُم مَسْؤُلٌ عَن رَعِيَّتِهِ ...

Bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin adalah
bertanggungjawab di atas orang yang di bawah kepimpinannya.

Jadi untuk melayakkan kita menjadi seorang pepimpin yang termasuk dalam golongan pemimpin Quranik, maka kita haruslah mempunyai ilmu al-Quran yang mencukupi serta memahami konsep-konsep Islam yang mendalam, khasnya yang berkaitan dengan kepimpinan dan pengurusan. Antaranya ialah perkara-perkara seperti di bawah ini:

Konsep Tauhid
Konsep Manusia
Konsep Alam
Konsep Pengurusan Islam

Al-Quran tidak menyenaraikan prinsip-prinsip kepimpinan dan pengurusan seperti yang terdapat di dalam bukuk teks pengurusan, sebaliknya al-Quran memaparkan beberapa kaedah umum yang boleh digunapakai di dalam ssetipa bidang kehidupan. Contohnya pemimpin mesti tahu tujuan ( Maqasid ) kepimpinannya. Tujuan dan pelaksanaannya mestilah tidak bertentangan dengan nilai Islam. Ffirman Allah:


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli kamu daripada api neraka. Surah al-Tahrim 6.

Ayat ini diturunkan secara umum. Iaitu kita wajib menjaga diri kita dan orang yang di bawah kepimpinan kita daripada melakukan sesuatu yang dimurkai Tuhan.

Mengikut Khaliq Ahmad (2006), selain daripada untuk mendapat keredhaan Allah, ada lima perkara yang perlu diberi perhatian dalam konsep pengurusan dan kepimpinan Quranik, iaitu:.

Menjaga agama: Maksudnya menjaga kesucian agama dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan agama atau menjatuhkan aqidah Islamiyah seperti amalan syirik, khurafat dan murtad. Tidak merendahkan syiar agama seperti merosakkan masjid, menghina orang yang menutup aurat, menghina sunnah atau orang yang mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.. Sebaliknya orang Islam diwajibkan mempertahankan agama daripada sebarang pencerobohan dan penghinaan. Firman Allah di dalam surah al-Nisa’ ayat 140 yang bermaksud: “Apabila kamu mendengar orang mengengkari atau menghina ayat-ayat Allah, mska janganlah kamu duduk bersama mereka lagi. (Jika kamu duduk juga bersama mereka) maka kamu pun seperti mereka juga”.




Menjaga jiwa: Islam tidak membenarkan seseorang menyerang jiwa orang lain iaitu yang melibatkan kematian atau luka parah. Jika seseorang diserang ia wajib mempertahankan dirinya. Jika ia mati kerana mempertahankan diri, matinya dikira syahid. Menjaga jiwa juga bermaksud tidak memakan atau minum sesuatu yang berbahaya yang boleh memudaratkan diri seperti racun dan sebagainya. Lihat al-Quran surah al-Nisa’ 29.




Keluarga/keturunan: Bermaksud tidak melakukan zina atau homosek dan sebagainya yang boleh merosakkan keturunan. Al-Quran menganjurkan supaya kita sentiasa menjaga nama baik keluarga dan keturunan serta tidak menceroboh atau merosakkan keturunan orang lain. Lihat surah al-Isra’ 32.




Akal: Iaitu dengan tidak memakan atau minum sesuatu yang boleh merosakkan akalnya, sama ada sesuatu yang memabukkan atau yang menyebabkan gila. Akal adalah satu anugerah Allah yang paling istimewa dan berharga. Justeru itu, al-Quran mengajar umatnya supaya menjaga anugerah Allah yang berharga itu. Lihat surah al-Baqarah, 195 dan al-Maidah, 95.
Harta: Harta benda yang ada merupakan satu nikmat pemberian Allah s.w.t. kepada hambaNya. Dengan demikian kita disuruh menjaganya dengan baik. Islam melarang umatnya menceroboh harta orang lain dengan apa cara sekalipun, seperti mencuri, menyamun, merampas, menipu, mengecoh, menindas, memeras, rasuah dan lain-lain. Lihat surah al-Maidah, 38 dan surah al-Isra’ 34-35.

Kelima-lima perkara ini merupakan prinsip yang paling asas bagi setiap orang Islam yang percaya kepada al-Quran. Seseorang yang tidak mempercayai atau meyakini bahawa al-quran sebgai sumber rujukan kepimpinan Islam, maka dia tidak akan mampu untuk menjadi pemimpin Islam yang menghayati kepimpinan Quranik.

Al-Quran menjelaskan bahawa setiap orang adalah khalifah Allah. Jadi, khalifah Allah haruslah bertindak menurut kehendak Allah. Kehendak Allah semuanya tercatat di dalam al-Quran. Ini adalah berdasrkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 30 dan surah Hud, 61.

Firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi” Surah al-Baqarah, 30.

Firman Allah: Maksudnya: “Dia lah yang menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan memerintahkan kamu supaya memakmurkannya”. Surah Hud 61.

Demikianlah beberapa kaedah umum yang diberikan oleh al-Quran kepada kita sebagai satu pendidikan al-Quran untuk melayakkan kita menjadi seorang pemimpin muslim yang bersifat Quranik.






Pengurusan Islam (15/10/08)

Pengurusan Islam bermaksud satu aktiviti mengurus yang berasaskan kepada ajaran Islam. Sebagai sedia maklum bahawa ajaran Islam adalah berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadith (al-Sunnah).

Yang diurus itu pula ada dua jenis sama ada sumber manusia atau sumber bukan manusia, Sumber manusia termasuklah mengurus diri sendiri, keluarga, masyarakat, orang yang di bawah bidang kuasa kita, seperti di pejabat, di sekolah dan sebagainya. Sumber bukan manusia ialah harta benda yang pada kita, kenderaan, jawatan, harta pejabat dan lain-lain.

Pada pandangan Islam, aktiviti mengurus itu adalah satu ibadat. Maknanya, kalau diurus dengan baik, sejajar dengan perintah Allah dan Rasul, maka ia mendapat ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Demikian juga sebaliknya, jika pengurusannya bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasul, ia dianggap menderhaka dan mendapat kemurkaan Allah serta berdosa.




Elemen Pengurusan

Dari segi teorinya terdapat Enam elemen pengurusan atau enam tindakan seperti yang tercatat di dalam buku-buku pengurusan, iaitu Merancang (planning), Menyusunatur (organizing), Memimpin/memandu (leading), Memotivasi (motivating), Menjalin-hubungan (communicating), dan Mengawasi (controlling). Semasa menjalankan tindakan inilah perlu mengikut prinsip-prinsip pengurusan Islam. Justeru itu, setiap pengurus Islam harus mengetahui prinsip-prinsip pengurusan Islam.




Apakah Prinsip Pengurusan Islam?

1. Menurut El-Awa, di dalam bukunya Political System of the Islamic State, terbitan American Trust Publication, Indiana (1980), prinsip tersebut ialah:




1. Al-Shura
2. Keadilan
3. Kesamarataan
4. Kebebasan
5. Ketaatan kepada Allah

Huraian




Al-Shura bermaksud mesyuarat. Ini bermakna setiap tindakan dalam meletakkan objektif organisasi atau melaksanakannya, atau pun untuk melakasnakan Enam elemen di atas, perlu dipersetujui di dalam mesyuarat. Tanpa mesyuarat, keputusan itu dianggap tidak sah, kerana ia dianggap sebagai pendapat peribadi, kecuali dalam kes-kes tertentu.

Keadilan di dalam Islam bermaksud “meletakkan sesuatu kena pada tempatnya”. Segala tindakan yang diambil bagi mencapai sesuatu objektif atau melaksanan elemen-eleman di atas tidak ada unsur kezaliman ke atas mana-mana pihak dan tidak ada unsur pilih kasih. Keadilan ini termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan upah atau gaji, kenaikan pangkat, anugerah perkhidmatan cemerlang dan sebagainya. Jika ada unsur berat sebelah maka ia terkeluar daripada prinsip pengurusan Islam.

Keadilan juga bermaksud tidak melakukan yang berdosa atau mengarah dan mengajak orang lain melakukan yang berdosa. Ini termasuklah menganjurkan sesuatu majlis atau aktiviti yang membawa kepada kerosakan atau berdosa, yang mengheret orang lain untuk sama-sama melakukan dosa. Perbuatan ini, mengikut prinsip pengurusan Islam dianggap sebagai melakukan kezaliman.

Kesamarataan bermaksud setiap individu di dalam sesebuah organisasi berhak mendapat haknya sebagai seorang pekerja, atau rakyat di dalam sesebuah negara berhak mendapat haknya sebagai seorang rakyat negara tersebut. Ini termasuklah hak untuk hidup secara aman, hak untuk mendapat makanan dan tempat tinggal yang sepadan. Jikalau dalam organisasi, ia berhak untuk mendapat layanan yang sepadan dengan tugas dan jawatannya serta upahnya serta kenaikan pangkat apabila sampai masanya.

Kebebasan. Ini bermaksud setiap individu di dalam sesebuah organisasi, bebas untuk berfikir dan mengeluarkan pendapat, atau rakyat di dalam sesebuah negera bebas untuk berfikir dan mengeluarkan pendapat serta bebas menganut fahaman agama, kecuali Islam. (Orang Islam tidak bebas atau tidak boleh mengikut ajaran sesat atau menganut agama lain) dan sebagainya.

Ketaatan. Ini bermaksud setiap tindakan atau kegiatan yang dilakukan mestilah dilakukan dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. Dalam ertikata lain, pengurus tidak mengarahkan individu di dalam organisasinya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah, atau menganjurkan sesuatu aktiviti yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat.

Ia juga bermaksud bahawa pemimpin atau pengurus itu boleh dibawa ke muka pengadilan jika didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan etika kerja dan peraturan syariat. Sebaliknya, pengurus harus merancang dan mangatur aktiviti yang boleh menolong dan membawa orang di bawah pengurusannya melakukan sesuatu yang baik dan bermunafaat kepada dirinya, keluarga dan masyarakat.

Demikian juga di dalam pembelanjaan oraganisasi atau negara. Pengurus wajib menjaga amanah dan membelanjakan wang dengan tidak membazir dan tidak pada perkara yang dilarang oleh Islam. Jika berlaku pembaziran, maka ia dianggap salah di dalam prinsip pengurusan Islam dan berdosa kerana tidak amanah.

Semua ini merupakan prinsip-prinsip pengurusan Islam yang perlu difahami oleh setiap pengurus atau pemimpin Islam yang ingin mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Inilah juga yang dikatakan Pengurusan Islam atau Pengurusan Tauhidik.


Management in Islamic Perspective

Basically Islamic Management is performing the activity of management according to the Islamic teaching, which is based on the Qur’an and the Hadith (the saying and the actions of the Prophet Mohammad p.b.u.h). Doing management is a good deed or Ibadah and will be rewarded

From the Qur’an we understand that every mankind is a khalifah of Allah (God vicegerent). The function of the khalifah is to manage every thing in this world, including ourselves, our families, belongings, offices and others. We should manage all those according to the will of God, the Almighty Allah. It does not mean that the manager is only the head of industry, institution or any big organization. The head of family is also the manager. The one who manage human or non human resources is a manager. So everybody is a manager in one capacity or another.

The basic principle of Islam is to know ourselves, then only we will know our functions in this life. There are five things to ponder in order to know our functions in this world. To make it easy and practical we put it in questions, such as: Who are you? Where do you come from? Where are you going to? What is this world? And what is the other world? (the day of judgment!)

When we answer these questions we will really know who ourselves and our functions. Such as I am a man, descendant of the first man, Adam a.s. who was created from clay to be the khalifah of Allah in this world. We come from Allah and will go back to Him. This world is a temporary life, the place where everybody has to do services to God and the other world will be the infinity life. Everybody will be examined whatever he/she had done during his/her life in this temporary world.

Understanding that, so we know ourselves and we know that we will be examined on whatever we have done here, toward ourselves, our families, belonging, jobs, industries, institutions, organizations, so on and so forth. What we do now and how we perform our works, will be answerable to God. Whatever we do, they are seen by God.

So, when come to work ethics, we should perform them accordingly, keep track what we do and never fail to carry out our given task. It’s the end of the day that counts, how satisfied we are with our work. If we perform our task well, we will not feel guilty because God will always be with us in everything that we do. Our actions then, fit well with Islamic teaching. In other words, we have manage ourselves well in the task given to us and they are in line with Islam.

When we talk about management, we should consider these six elements of management theory, i.e. Planning, Organising, Leading, Motivating, Communicating and Controlling. As a khalifah of Allah, we have to act to these six elements in line with the will of Allah as it was interpreted from the teaching of the Qur’an and the Hadith.

When we plan, for example, whether for ourselves, our families, jobs, organizations and so on, we have to plan something good which will benefit us. Not the thing that will lead to something bad and sinful action or things like that..

As a manager, we do manage human and non human resources. So, we have to make sure that everything we do is in accordance with the teaching of al-Quran and al-Sunnah. For example, we have to know well how to identify personnel to do the specific job. We will make a big mistake when putting some one who has no skill in that particular job or to do that specific job. This is one aspect of organizing.

Usually, planning will include the income and expenditure. Islam teaches us to make sure that the income of the family or the company is clean from any unlawful element. So also in term of expenditure. Every cent that we spend is accountable before God. It should be spent in the permissible way and not being an extravaganza and a spendthrift.

Another thing we should also realize is that, Islam teaches us to respect each other, our colleagues, staff and high ranking officers. It dose not mean that only lower rank staff have to respect the high rank officers. Instead, the high rank officers also should respect all their subordinates as they are our supporting staff who also contributed to the running of the organization.

As a leader, we are responsible to show good manners to the support staff. This will include communication styles, direction, beliefs, attitudes and so on. We plan or organize workshops or short courses in order to upgrade the knowledge or skill of the staff. We give them incentives to motivate them to work productively. Besides that, we give them Islamic knowledge so that they will perform their duty and behave themselves in line with Islamic teaching

All these steps are in line with the tenets of Islam. So, if we take care of all these deeds, we really manage the organization according to the Islamic perspectives.











Maaf, laman masih di dalam pembinaan




About Me

My photo
Laman Pendidikan al-Quran diwujudkan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan al-Quran, khasnya dari aspek pendidikan. Al-Quran mendidik kita supaya membaca al-Quran. Apabila kita membaca al-Quran, kita mendapat pendidikan daripada al-Quran. Ini termasuklah prinsip pendidikan, falsafah, metodologi, pendidikan al-Quran di dalam pengurusuan. pentadbiran dan sebagainya. Semoga Laman ini memberi munafaat kepada pembaca semua.